Thursday, September 17, 2009

RANCANGAN RAWATAN DALAM KAUNSELING

Rancangan rawatan dalam kaunseling bukanlah perkara baru. Malahan setiap aktiviti kaunseling yang melibatkan proses rawatan kepada klien semestinyalah mempunyai perancangan rawatan yang tersendiri. Malangnya ramai kaunselor secara tidak sedar dan terancang mewujudkan rancangan rawatan ini. Kebanyakannya membiarkan proses rawatan itu sendiri yang membimbing rancangan rawatan itu.
Ini bermakna program rawatan adalah berbentuk reaktif mengikut perkembangan masalah klien. Keadaan yang begini boleh menyebabkan aktiviti kaunseling kehilangan fokus dan arahan. Seharusnya aktiviti kaunseling mestilah terancang dan terfokus iaitu aktiviti kaunseling mestilah berbentuk proaktif. Tegasnya mestilah wujud sesuatu rancangan rawatan yang khusus bagi menentukan arah tujuan proses kaunseling itu.
Kebelakangan ini terwujud beberapa faktor penggerak yang mendesak kaunselor- kaunselor profesional untuk melihat rancangan rawatan ini dengan lebih serius lagi. Pertama sekali berkaitan dengan kredibiliti perkhidmatan kaunseling itu sendiri. Sebagaimana yang diketahui oleh umum khidmat kaunseling menjadi makin popular pada masa kini dan kaunseling dianggap sebagai penyelamat kepada pelbagai masalah sosial. Tetapi keberkesanan kaunseling itu sendiri jarang sekali diperkatakan.
Selanjutnya kesan negatif aktiviti kaunseling pula kerap diperkatakan. Satu proses pemulihan mestilah dilakukan untuk menjamin kredibiliti kaunseling ini tidak terhakis. Rancangan rawatan adalah jawapan kepada sungutan ini. Rancangan rawatan yang tepat dan terperinci mampu mengembalikan kredibiliti perkhidmatan kaunseling.
Jadi untuk menjamin kredibiliti perkhidmatan kaunseling, setiap kaunselor yang memberi khidmat kaunseling PERLU membangun dan memperkukuhkan kemahiran-kemahiran dokumentasi yang diperlukan oleh perancangan rawatan itu.
Setiap kaunselor PERLU mendokumentasikan secara terperinci rancangan rawatannya bagi setiap kes yang dikendalikan olehnya. Bukan sahaja rancangan rawatan ini perlu didokumentasikan, ia juga perlu menjadi transparent kepada kaunselor dan klien. Kedua-duanya tahu secara termaklum apa-apa yang dirancangkan dalam aktiviti kaunseling yang mereka lakukan bersama itu.
Secara tradisinya, dalam kaunseling, rancangan rawatan amat minima dilakukan. Malahan bentuk rancangan ini jika ada adalah sama sahaja bagi semua klien. Tidak ada pengkhususan rancangan rawatan yang dicipta khas untuk seseorang klien itu. Jadi rancangan rawatannya begitu menyeluruh sehingga tidak kelihatan sebagai sesuatu yang unik untuk seseorang klien itu.
Walaupun secara etikanya rancangan rawatan mestilah unik dan terkhusus, ini tidak dilakukan dengan baiknya. Jadi untuk menjamin perkhidmatan kaunseling dilaksanakan secara etika rancangan rawatan ini perlulah diadakan. Dengan adanya rancangan rawatan yang khusus, perkhidmatan kaunseling dapat memenuhi keindividuan dan keunikan klien seperti yang dilaungkan oleh penaja-penaja perkhidmatan kaunseling.
Berhubung dengan rancangan rawatan tradisi yang minima ini, klien yang mendapat khidmat kaunseling dari kaunselor yang berkaitan, sering ragu-ragu mengenai matlamat mereka datang mendapatkan khidmat kaunseling itu. Kebanyakan klien merasa tidak pasti apakah yang mereka akan capai dalam rawatan kesihatan mental yang mereka sedang jalani ini. Mereka juga tidak tahu apakah penghujungnya dari sistem rawatan bercakap ini?
Rancangan rawatan yang minima sering mempunyai matlamat yang samar di samping tidak wujudnya objektif rawatan manakala intervensi pula diaplikasikan mengikut kehendak dan kemahiran kaunselor sahaja. Yang lebih teruk lagi satu sistem intervensi digunakan sama bagi semua klien.
Ini bermakna keutamaan diberikan kepada sistem intervensi dan tidak kepada keperluan klien. Jadi timbullah masalah kesesuaian intervensi dengan penyelesaian masalah yang dihadapi oleh klien. Lebih mudarat pula apabila kaunselor memaksa penggunaan sistem rawatan yang telah ternyata tidak berkesan terhadap masalah yang dihadapi oleh klien. Relevansi sistem rawatan adalah dipersoalkan.
Selain daripada masalah di atas, rancangan rawatan yang minima juga tidak dapat mengemukakan data hasilan yang boleh diukur. Jadi kedua-duanya tidak tahu secara objektif apakah perubahan-perubahan yang telah terjadi. Bukan itu sahaja, malahan kaunselor itu sendiri tidak dapat menyatakan secara yakin dan konkrit bahawa perubahan telah betul-betul berlaku. Akibatnya kaunselor dan klien tidak tahu sebenarnya bila rawatan boleh diutamakan ataupun sudah tamat.
KEPERLUAN SISTEM PERKHIDMATAN
Sistem perkhidmatan kaunseling masa kini mahukan kaunselor bergerak pantas dari penilaian masalah kepada pembentukan dan perlaksanaan rancangan. Bukan agensi yang memberikan khidmat kaunseling sahaja yang menggunakan prinsip amalan ini, tetapi juga agensi yang merujuk klien. Agensi-agensi ini tidak mahu pekerja-pekerja mereka menghabiskan masa dengan kaunselor tanpa sebarang perancangan yang nyata dan khusus.
Agensi-agensi ini juga mahukan bukti yang bertulis bahawa pekerja-pekerja mereka betul-betul dapat khidmat kaunseling. Rancangan rawatan mampu memenuhi keperluan agensi-agensi yang merujuk ini kerana dalam rancangan rawatan tertulis semua perkara-perkara yang diperlukan oleh agensi yang merujuk.
Di samping memerlukan rancangan rawatan yang bertulis, agensi-agensi yang merujuk pekerja-pekerja ataupun ketua- ketua jabatan klien, mahukan proses rawatan yang pendek. Maksudnya proses rawatan perlu dipercepatkan dengan mendesak klien dan kaunselor bersama- sama memberi fokus kepada mengenal dan mengubah masalah-masalah tingkah laku dengan secepat mungkin. Mereka tidak mempunyai masa untuk membiarkan pekerja/klien mendapatkan perkhidmatan kaunseling berpanjangan. Mereka mahukan pekerja-pekerja mereka cepat sembuh dan memberikan 100% kepada kerja mereka.
Satu perkara lagi, agensi yang merujuk klien kepada kaunselor, mahukan kaunselor menghasilkan rancangan rawatan yang berkesan, berkualiti tinggi dalam jangkamasa yang pendek. Ini bermakna rancangan rawatan mestilah terkhusus kepada masalah dan intervensi, diindividukan untuk memenuhi keperluan dan matlamat klien dan boleh diukur dalam menentukan milestone yang boleh dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Pencapaian milestone ini boleh digunakan pula dalam mencartakan perkembangan atau kejayaan klien dalam menjalani atau menerima perkhidmatan kaunseling.
KEGUNAAN RANCANGAN RAWATAN
Rancangan rawatan yang berkesan memberi keuntungan kepada ramai individu yang terlibat secara langsung dengan proses kaunseling iaitu klien, kaunselor, pasukan rawatan, komiti insurans, agensi rawatan, agensi yang menggunakan khidmat kaunseling dan profesion kaunseling itu sendiri.
Bagi klien rancangan rawatan bertulis yang merangkumi a) isu-isu yang menjadi fokus rawatan, b) garis panduan yang menstruktur proses perkhidmatan kaunseling memberi jaminan bahawa khidmat kaunseling betul-betul terapeutik dan kaunselor tidak terbabas dalam mencapai matlamat kaunseling. Pada masa yang sama klien dapat mengesan dan menyelia perkembangan dirinya semasa menjalani proses kaunseling ini.
Satu aspek penting rancangan rawatan ini ialah bentuknya yang dinamik, iaitu rancangan rawatan boleh berubah mengikut perubahan yang terdapat dalam diri klien. Apabila kedudukan, bentuk dan prioriti masalah berubah, rancangan rawatan turut berubah juga.
Di samping itu rancangan rawatan boleh sentiasa diupdatekan untuk mencerminkan sebarang perubahan besar mengenai masalah, definasinya, matlamat rawatan dan jenis intervensi yang digunakan.
Seterusnya klien dan kaunselor pula mendapat keuntungan kerana rancangan rawatan ini memaksa kedua-duanya memikirkan hasilan yang konkrit dari kaunseling. Mereka juga terpaksa mengemukakan objektif yang boleh diukur untuk menjelaskan tumpuan usaha rawatan. Melalui kaedah ini klien tidak perlu lagi meneka dan tertanya-tanya apakah yang ingin dicapai oleh kaunseling.
Bagi kaunselor dan klien, matlamat yang jelas pula, membolehkan klien menyalurkan tenaganya kepada sesuatu perubahan yang khusus yang akan membawa kepada penyelesaian masalah bukan sahaja masalah terkini, tetapi juga masalah jangka panjang. Jadi melalui rancangan rawatan ini, proses rawatan dalam kaunseling, bukan lagi satu kontrak yang samar-samar di mana klien hanya perlu bercakap secara jujur dan terbuka sahaja mengenai emosi dan permasalahan mereka sehingga mereka berasa lega sedikit.
Tetapi sebaliknya pula berlaku iaitu klien dan kaunselor sama-sama boleh dari awal-awal lagi menentukan bidang perhatian yang objektif dan khusus yang telah dikenalpasti melalui intervensi yang khusus juga. Tegasnya kontrak rawatan menjadi satu kontrak yang jelas, bermatlamat perubahan dan telus.
Untuk kaunselor sendiri pula, melalui rancangan rawatan ini, boleh memaksa diri mereka sendiri untuk berfikir secara anaktikal dan kritikal mengenai intervensi terapeutik yang paling sesuai dan secocok dengan objektif kecapaian klien.
Kaunselor juga tidak lagi follow the client dalam menentukan matlamat rawatan, tetapi menentukannya secara proaktif di peringkat awal lagi. Jadi kaunselor mestilah memberi perhatian lebih awal mengenai teknik, pendekatan, tugas dan sasaran katarsis yang akan menjadi rangka asas bagi intervensi kaunseling.
Melalui dokumentasi yang jelas dari rancangan rawatan yang terperinci kaunselor dapat perlindungan dari disaman oleh klien. Dokumentasi ini mampu menjadi benteng atau perisai dalam hal samaran ini, terutama sekali jika apa-apa yang didokumentasi itu telah dikaji dan dipersetujui oleh klien. Lagipun nota progres rawatan dapat dijadikan bukti tambahan untuk melindungi diri kaunselor yang berkaitan. Bagi pasukan rawatan pula, rancangan rawatan ini membolehkan cross- referal yang berkesan dapat dilakukan. Di samping itu, pembahagian tugas dan komunikasi yang jelas dapat dilaksanakan. Akhir sekali keseragaman dokumentasi dan akauntabiliti dapat diketengahkan.
Perancangan rawatan bertulis formal dan standard yang merangkumi definasi masalah, matlamat dan intervensi dalam setiap fail klien membolehkan keseragaman ini terjadi, lantas menyenangkan penyeliaan dan pengesanan rekod oleh audit sama ada audit dalaman dan luaran.
Akauntabiliti pula mengutamakan aspek kontrak yang terapeutik lagi berstruktur yang mempunyai objektif yang boleh diukur dan intervensi yang jelas. Dengan terwujudnya rancangan rawatan yang terperinci, data hasilan lebih senang diperolehi dan dipertahankan dan semua ini secara langsung membantu peningkatan kredibiliti khidmat kaunseling yang dipasarkan itu.
RUMUSAN
Dari penjelasan di atas, nyatalah bahawa rancangan rawatan yang berkesan adalah satu kewajiban yang perlu dilaksanakan. Tanpa rancangan rawatan yang berkesan, khidmat kaunseling yang diberikan tidak akan memenuhi keperluan dan mencapai hasrat yang klien mahukan. Akhirnya perkhidmatan serta profesion kaunseling akan mengalami kerugian.

oleh Dr Mat Saat Baki

No comments:

SENARAI BLOG MOTIVASI