Monday, September 28, 2009

KAUNSELING DAN PENGHARGAAN KENDIRI

BATIN atau hati nurani manusia adalah hakim yang paling adil. Ia bertindak sebagai pengawal yang kritis. Batin inilah yang menimbulkan rasa tanggungjawab pada peribadi seseorang."

Lapan perkataan yang dapat menentukan nasib anda;

" Hidup kita ini dibentuk oleh fikiran kita sendiri." (Dale Carnegie; 1995)

Penghargaan kendiri atau "self-esteem" mempunyai pengaruh yang mendalam dalam perkembangan hidup setiap insan. Perkembangan kendiri ini juga berhubung kait dengan kepercayaan, kebolehan dan kepercayaan diri individu dalam mengharungi kehidupan. Ianya merupakan imej diri, penerimaan diri atau perasaan kita terhadap diri sendiri. Perkembangan kendiri bermula sejak kelahiran kita.

Pakar-pakar psikologi umumnya menyatakan pengalaman awal ketika zaman kanak-kanak dan masa remaja mempunyai kesan besar terhadap perkembangan kendiri seterusnya. Keluarga sebagai agen pertama dalam pembentukkan sosialisasi kanak-kanak. Apa yang kita cerminkan kembali kepada anak-anak kita akan menjadi asas pembentukkan imej kendiri mereka dan seterusnya mempengaruhi segala aspek kehidupan mereka.

APAKAH PENGHARGAAN KENDIRI (SELF-ESTEEM)

"Self-esteem", secara umumnya boleh didefinasikan sebagai penilaian menyeluruh tentang diri kita sama ada secara positif atau negatif. Ia mempamerkan sejauh mana individu itu mempercayai bahawa dirinya "competen" dan layak untuk hidup.

Dari sudut psikologi self-esteem merujuk kepada diri individu. Ia menyatakan bahawa sesuatu pengetahuan tentang diri dan bagaimana sesorang itu menilai dirinya dan mengenalpasti sejauhmana kekuatan dan kelemahannya. Melalui penilaian diri ini mereka mahu dihormati oleh orang lain . Peringkat mengenal diri ini pula berbeza antara seseorang, bergantung kepada kematangan. Harus dilihat pula bagaimana personaliti atau perilaku yang terbentuk pada diri individu tersebut.

Berbicara soal penghargaan kendiri kita tidak boleh melupakan hal peribadi, atau disebut juga perilaku, tingkah laku, persona atau personaliti. Antara keduanya saling berkait rapat. Penghargaan kendiri dipupuk melalui pembentukan peribadi. Keperibadian sihat bererti pemilikan harga diri yang tinggi. Begitu juga sebaliknya.

Dari mana datangnya peribadi atau perilaku manusia? Para pengkaji menganggap manusia merupakan kejadian yang menarik untuk dikaji. Tetapi banyak permasalahan manusia tidak dapat diselesaikan. Kebanyakan ahli psikologi berpendapat bahawa manusia dalam kehidupan sehari-hari tidak selalu membawa dirinya sebagaimana adanya.

MENGENAL PENGHARGAAN KENDIRI ANDA

Sejauhmanakah anda mengenal diri sendiri? Bagaimana pula mengukurnya? Di dalam kehidupan harian kebanyakan kita cuba menunjukkan peribadi yang baik. Apakah tujuannya?.

Adakah perlu kita memikirkan penghargaan kendiri kita? Jawapannya pasti ya! Ini kerana ianya mempengaruhi cara kita berfikir, bertingkahlaku dan bagaimana perasaan kita terhadap diri sendiri dan orang lain. Juga mempengaruhi sejauh mana kejayaan kita mencapai matlamat hidup diri sendiri.

Dalam membicarakan tentang penghargaan kendiri terdapat dua kompenan penting iaitu perasaan tentang keterampilan diri dan nilai diri. Keterampilan diri, pada asasnya ialah keyakinan diri dan kepercayaan bahawa anda berupaya menghadapi cabaran-cabaran utama kehidupan. Nilai diri ialah perasaan hormat, bangga dan sayang terhadap diri sendiri. Kedua-dua konsep ini adalah saling berhubungkait kerana ia menjadikan seseorang itu merasa senang dengan pembawakan dirinya. Penghargaan kendiri ialah faktor terpenting yang mempengaruhi kejayaan seseorang dalam segala aspek kehidupan.

Individu yang berjaya dalam hidupnya sama ada dalam pelajaran, kerjaya atau kehidupan keluarga sering dikaitkan dengan tahap penghargaan kendiri mereka yang tinggi. Mereka ini mempunyai matlamat hidup yang jelas, komited kepada apa yang diusaha, produktif, bersedia menghadapi cabaran dan yakin kepada kebolehan serta keupayaan diri adalah sifat-sifat utama pada diri mereka.

Penghargaan kendiri yang positif juga mendorong mereka bersedia menghadapi risiko mencuba perkara yang baru, mudah menerima perubahan dan idea baru. Mereka mempunyai sifat terbuka tentang diri sendiri, sedia menerima teguran dan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri.

Sebaliknya individu yang memiliki penghargaan kendiri yang negatif boleh dikenali menerusi sifat dirinya yang kurang keyakinan diri, prestasi kerja yang rendah, berpandangan serong terhadap diri sendiri dan orang lain serta mudah tersinggung dengan teguran. Mereka sukar menerima perubahan dan memberi pelbagai alasan untuk tidak menerima perubahan. Selain daripada itu mereka juga sukar menyesuaikan diri dengan orang lain dan sering mengaitkan kegagalan dengan kelemahan diri.

PENILAIAN, TAHAP PENGHARGAAN KENDIRI ANDA: TINGGI ATAU RENDAH

Ahli psikologi Switzerland, Carl Gustaf Jung, membahagikan perilaku manusia kepada dua iaitu ekstrovert dan introvert. Mereka yang tergolong dalam 'ekstrovert' disifatkan sebagai seseorang yang mementingkan umum daripada diri sendiri. Sifat ini membentuk personaliti seperti bersifat terbuka, gembira, peramah, senang dalam pergaulan, mudah mendapat kawan, mudah mesra dan berkeyakinan. Perilaku ekstrovert cenderung mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi. Ini kerana mereka mempunyai keyakinan. Gerak mereka sentiasa ghairah dan suka pengalamam baru mewarnai kegiatan seharian. Adakalanya, melalui perbincangan isu-isu tertentu mereka cukup memberansangkan. Dalam setiap hal, pendapat mereka perlu dihormati dan dihargai.

Manakala individu yang digolongkan dalam introvert lebih menumpukan perhatian ke dalam diri. Mereka mementingkan diri, pendiam, egois, suka merenung, mengasing diri, tidak bersifat terbuka dan sukar bergaul. Seseorang menilai penghargaan kendiri berdasarkan personaliti introvert dan ekstrovert. Kebanyakan yang memiliki perilaku introvert lazimnya menilai harga dirinya rendah, sentiasa menganggap dirinya kurang daripada orang lain dan malu dengan kekurangan itu. Sebaliknya tiada usaha dilakukan untuk memperbaiki diri setanding dengan orang lain. Malah apabila menemui kegagalan, mereka terus-terusan menyalahkan diri sendiri.

Walaupun ada inisiatif melihat kembali diri namun sifat putus asa mengatasi segalanya. Akibat tidak menghargai diri, orang seperti ini gemar bersendirian dan menghabiskan masa mengutuk diri. Meletakkan harga diri terlalu rendah tidak sepatutnya dilakukan. Jika ini berterusan, ia menimbulkan kesan bahaya. Ia akan mengalami masalah jiwa. Akibatnya, orang yang penghargaan kendirinya rendah menganggap hidup tidak lagi berguna dan sanggup melakukan sesuatu di luar kawalannya.

Tidak dinafikan masalah jiwa bukan sahaja disebabkan oleh hilangnya penghargaan kendiri. Banyak faktor-faktor lain yang memerlukan bimbingan kaunseling untuk mencari puncanya. Tetapi penghargaan kendiri adalah penting bagi seseorang kerana ia merupakan pernyataan bagaimana menilai diri. Penilaian diri ialah pokok utama yang kita bincangkan kerana penghargaan kendiri menentukan gembira atau tidak, berjaya atau sebaliknya hidup seseorang. Sekiranya anda ingin melihat tahap penghargaan kendiri anda, sila jawab soal selidik (Penilaian Tahap Penghargaan Kendiri Anda) di bawah yang bertujuan untuk membantu anda mengenali diri dan tahap penghargaan kendiri anda.

"Mereka yang tergolong dalam 'ekstrovert' disifatkan sebagai seseorang yang mementingkan umum daripada diri sendiri. Sifat ini membentuk personaliti seperti bersifat terbuka, gembira, peramah, senang dalam pergaulan, mudah mendapat kawan, mudah mesra dan berkeyakinan. Perilaku 'ekstrovert' cenderung mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi. Ini kerana mereka mempunyai keyakinan. Gerak mereka sentiasa ghairah dan suka pengalaman baru mewarnai kegiatan seharian."

PENILAIAN TAHAP PENGHARGAAN KENDIRI ANDA

Orang yang mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi tahu menempatkan dirinya. Biasanya mereka mengetahui kelemahan dan kekuatan diri mereka. Mereka kenal diri mereka. Hidup mereka sentiasa bermotivasi tinggi. Ketika menemui kegagalan mereka tidak berputus asa. Sebaliknya sentiasa melipatgandakan usaha dan sentiasa cuba memperbaiki diri untuk lebih berjaya. Seseorang yang bijak menempatkan harga diri di tempat yang sewajarnya sering mencapai kejayaan. Orang yang bijaksana menghargai diri dengan menggunakan kelebihan sebagai 'strong point' untuk mencapai matlamatnya.

Individu yang memiliki penghargaan kendiri yang positif mempunyai sifat terbuka tentang diri sendiri dan mudah bermesra apabila bertemu orang yang belum pernah dikenali. Ia membantu mereka membina hubungan baru dengan pihak lain dengan lebih mudah. Dalam kehidupan ini, mempercayai bahawa kita mempunyai kemampuan melakukan sesuatu merupakan separuh kemenangan kepada perjuangan. Keyakinan ini memberansangkan kita untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam apa jua perkara yang dilakukan. Usaha yang dibuat dengan penuh komitmen pastinya meningkatkan prestasi kerja.

Faktor yang terpenting mempengaruhi penghargaan kendiri ialah kepercayaan kendiri atau siapa kita fikirkan diri kita. Gambaran mental diri atau dalaman diri mengambarkan imej diri seseorang itu. Menurut D.C. Briggs (1977), imej diri anda adalah sistem kepercayaan yang anda bina tentang diri sendiri. Kepercayaan kita terhadap diri sendiri sebahagian besarnya telah dicorakkan oleh tanggapan pengalaman yang lalu, kejayaan dan kegagalan bagaimana anda dinilai oleh orang lain. Imej diri juga ialah asas keseluruhan personaliti seseorang.

Kepercayaan yang positif juga membentuk sebahagian besar personaliti dan kemampuan seseorang, ia memberi kuasa dalaman kepada individu untuk mencapai matlamat yang dihajati. Kepercayaan kendiri juga menentukan had pencapaian anda, apa yang boleh dan tidak boleh anda lakukan. Kita dicorakkan oleh fikiran kita, terjadi sesuatu adalah apa yang kita fikirkan.

Ramai orang gagal mencapai kejayaan yang besar dalam kehidupan kerana imej diri yang negatif, bukan kerana kekurangan kemampuan atau bakat. Orang yang mempunyai imej kendiri yang negatif lazimnya akan mempunyai penghargaan kendiri yang rendah.

Ramai orang yang sering berkecil hati dan sensitif kepada perkara-perkara kecil dan remeh-temeh. Ini menyebabkan orang yang berhadapan dengannya terpaksa lebih berhati-hati dari segi perbuatan dan perkataan demi menjaga perasaan individu tersebut daripada tersinggung. Kadangkala kita terpaksa berlindung demi menjaga perasaannya.

Orang yang begitu sensitif adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai penghargaan kendiri, rasa penghormatan diri yang amat rendah. Ini terjadi apabila nilaian terhadap dirinya 'self-worth' begitu rendah. Seseorang yang enjoy tugasnya sentiasa memperkembangkan kepercayaan terhadap nilaian diri dan keyakinan diri. Mereka cuba menyukai diri mereka melalui "latihan dan amalan diri". Penghargaan kendiri yang sihat bererti kita menghargai nilaian terhadap diri kita sendiri sebagai insan yang unik dengan segala keistimewaan , bakat dan kebolehan.

Orang yang merasakan dirinya tidak dikehendaki mempunyai perasaan bimbang terhadap kebolehan diri, merasa kekurangan dan mempunyai pandangan yang rendah terhadap dirinya sendiri.

ASAS PENGHARGAAN KENDIRI YANG KUKUH

Grant Brecht (1996) menyatakan penghargaan kendiri yang dimiliki oleh individu umpama asas bagi sesebuah rumah. Ianya merupakan struktur yang paling utama dan sekiranya berlaku kerosakan akan menyebabkan rumah itu tidak selamat. Seseorang yang memiliki penghargaan kendiri yang goncang maka apa jua yang dia lakukan untuk membangun kehidupan kendiri akan terbina dalam asas yang tidak kukuh. Oleh itu kegagalan dalam melakukan sesuatu menyebabkan kita merasakan diri kita tidak berguna .

Anda mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi jika anda mempunyai ciri-ciri berikut;

Yakin kepada keupayaan diri sendiri

Selalu menghargai apa yang dilakukan. Biar sekecil mana pun kejayaan tersebut, ingatlah pengalaman anda adalah milik anda sendiri

Matlamat hidup yang ditentukan adalah milik sendiri

Yakin boleh mencapai matlamat hidup

Mengkritik tindakan bukan diri sendiri

Mencuba sesuatu yang baru dalam hidup adalah satu rangsangan bagi diri

Membenarkan kesilapan berlaku

Seronok dan bermakna mendampingi orang yang positif

Berjuang untuk hak diri

Memiliki kejayaan masa lalu yang diingati.

Untuk membentuk penghargaan kendiri yang tinggi memerlukan kita berfikir secara positif mengenai diri sendiri. Berfikiran positif seharusnya dijadikan teman akrab kita sepanjang masa yang boleh dicapai dengan melakukan tindakan berikut:-

Berbanggalah dengan kejayaan diri sendiri, biar sekecil manapun kejayaan tersebut. Ingatlah, bahawa pengalaman anda adalah milik anda sendiri.

Ambil sedikit masa pada waktu-waktu tertentu untuk bersendirian dan melakukan kerja-kerja yang anda gemari dan seronok melakukannya bersendirian.

Lakukan sesuatu yang anda yakini betul dan menggembirakan anda.

Berbanggalah dengan diri sendiri, terokai dan hargailah bakat yang ada dalam diri sendiri. Jangan cuba menjadi diri orang lain.

Belajarlah mencintai keunikan diri sendiri. Terima dan pelajari akan kesilapan. Jangan cepat melatah apabila melakukan kesilapan. Terimalah kejayaan dan kegagalan diri anda.

Kenalpasti dan terima segala kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri sendiri. Ingat! semua orang ada kekuatan dan kelemahan diri.

Amalkan sikap 'anda boleh!'. Sentiasa beri dorongan dan peransang kepada diri sendiri dalam apa kerja yang dilakukan.

Berfikiran positif seperti yang digariskan di atas pastinya boleh membantu anda memperbaiki perkembangan kendiri anda dan membuat anda berasa gembira tentang diri sendiri dan juga orang lain walau apa jua yang berlaku. Justeru itu...., berfikir tentang diri anda!.



BERBANGGALAH DENGAN DIRI ANDA

1. Bantu Diri Anda - dengan mengembangkan bakat dan kebolehan anda
2. Beri Semangat dan Galakan Kepada Diri Sendiri - bilamasa diperlukan
3. Puji Diri Sendiri - apabila anda rasa anda patut diberi pujian
4. Cintai Diri Sendiri......

KAUNSELING DAN PENGHARGAAN KENDIRI

Setelah membaca penulisan ini anda tentu sedar adalah amat penting anda menghargai dan mengasihi diri sendiri. Renungi diri anda dan tentukan kategori mana anda berada. Sekiranya anda merasakan tahap penghargaan kendiri anda adalah rendah dan perlu dipertingkatkan maka lakukan sesuatu.

Bagi mendapat bantuan atau pertolongan mengenai masalah dengan penghargaan kendiri, anda mempunyai pilihan sama ada melalui khidmat kaunseling iaitu:
i. Kaunseling individu; ATAU
ii. Kaunseling kelompok

Kaunseling ialah satu usahasama antara kaunselor dan klien di dalam menyelidiki dan memahami masalah dan tekanan jiwa yang dialami oleh klien dengan lebih jelas lagi. Penderitaan dan masalah yang dialami di dalam bentuk sikap, perasaan, tingkah laku, pemikiran dan simptom yang mana kesemuanya boleh mengganggu individu berkenaan.

Kaunseling bukannya satu hukuman, kritikan yang negatif atau mencari kesalahan seseorang. Tujuan utamanya ialah untuk menghasil perubahan yang positif di dalam diri individu dengan kritikan dan nasihat yang membina di samping untuk menjadi lebih stabil dan produktif dalam menghadapi kehidupan. Di samping itu kaunseling juga bertujuan untuk meningkatkan perkembangan individu supaya ia dapat mencapai tahap kesihatan mental yang maksima dan menjadi seorang yang berjaya dan mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi.

Kaunseling sebagai usaha penerokaan kendiri untuk membantu klien menyedari sepenuhnya potensi yang ada dalam dirinya. Ini bermakna corak hubungan dan 'rapport' dalam konteks kaunseling amat besar ertinya dan menjadi penentu kepada hasil sesuatu proses kaunseling. Keadaan ini akan lebih ketara lagi dalam kontek kaunseling silang budaya yang melibatkan perbezaan antara kaunselor dan klien dari segi bangsa, agama dan budaya.

Terdapat pelbagai bidang kaunseling. Dalam konteks ini kedua-dua kaedah di atas boleh menjadi berkesan, ianya bergantung kepada pilihan anda. Melalui kaunseling, individu tumpuan hanyalah ke atas diri dan situasi anda. Anda akan mendapat tumpuan kaunselor yang akan memberi perhatian khusus ke atas apa yang berlaku kepada anda, bagaimana anda rasai dan apa yang boleh dilakukan.

Kaunseling kelompok adalah satu proses antara individu (interpersonal process) yang melibatkan seorang kaunselor dengan beberapa orang ahli/klien yang meneroka diri serta situasi yang dialami. Proses tersebut menekankan pemikiran yang sedar, perasaan dan kelakuan. Tujuan kaunseling kelompok adalah membaiki sikap serta perlakuan klien yang tidak berkesan atau tidak mendatangkan faedah. Mengikut Corey (1990) kaunseling kelompok bertujuan mencegah serta memulih. Tujuan mencegah adalah supaya klien dapat mengatasi masalah yang dihadapi sebelum masalah tersebut menjadi serius. Tujuan memulih pula adalah bagi klien yang sedang mengalami masalah serius di mana kaunseling kelompok merupakan satu proses intervensi untuk menukar kelakuan.

Kaunseling kelompok berorientasikan masalah yang spesifik, sama ada masalah itu masalah pembelajaran, kerjaya, sosial atau emosi. Dengan itu, kaunseling kelompok akan memberi fokus kepada perkongsian maklumat, pengalaman dan perasaan ke arah celik akal, membaiki sikap serta perlakuan. Setiap orang berpeluang menceritakan pengalaman masing-masing. Anda akan menyedari bahawa bukan anda seorang sahaja menghadapi masalah ini.

Matlamat kaunseling berkelompok ini di mana ahli-ahlinya dapat berkongsi bersama untuk belajar mempelajari diri dan orang lain, juga untuk mendapat pengetahuan tentang diri sendiri dan memperkembangkan identiti diri.

Walau bagaimanapun kefahaman kaunselor dan klien terhadap perasaan dan tanggungjawab masing-masing menjadi faktor penting dalam kejayaan sesuatu sesi kaunseling dan perlu dititik beratkan. Kaunselor perlu memahami dunia psikologi klien yang selalunya amat sensitif terhadap persekitarannya. Setiap yang difikirkan, dirasakan, dikatakan dilakukan dan bagaimana disampaikan oleh kaunselor dan klien boleh menjejaskan kualiti keyakinan dan kepercayaan yang terbina. Oleh itu, kedua-dua pihak perlu sama-sama membina hubungan dua hala kerana mereka mempunyai perbezaan yang besar dari segi orientasi peranan dan tanggungjawab.

Apa yang perlu disedari ialah kita perlu membina penghargaan kendiri dan memperbaiki imej diri supaya kita tidak mudah terancam atau cemas dengan apa jua ancaman atau cabaran.

Oleh itu yang penting, perlu diingat ialah diri anda adalah amat berharga dan berguna untuk dipelihara bagi hidup yang berkualiti. Jika anda perlukan bantuan profesional, dapatkanlah demi kebaikan diri anda.

oleh : Naimah Ahmad,jpa

No comments:

SENARAI BLOG MOTIVASI