Tuesday, September 18, 2012

Dunia Kaunseling

Intervensi aspek spiritual dalam kaunseling

Tujuan umum intervensi spiritual dalam kaunseling adalah untuk meningkatkan proses penyesuaian dan pertumbuhan spiritual klien. Ini adalah kerana klien yang  sihat spiritualnya akan dapat berfungsi secara efektif dalam masyarakat. Kategori intervensi tersebut telah dibahagikan kepada empat oleh Richard dan Bergin (2002) yang merangkumi aspek kognitif, afektif, tingkah laku, dan interpersonal.
a) Intervensi kognitif
Aspek intervensi kognitif adalah untuk membantu klien  menukar kepercayaan dan pemahaman spiritual mereka. Klien yang cenderung menggunakan pemikiran yang logik dan rasional di dalam penyelesaian masalah serta banyak menggunakan idea dan teori adalah mereka yang sesuai untuk melaksanakan intervensi ini. Antara contoh intervensi  ini termasuklah perbincangan  konsep spiritual, parafrasa dan pengkajian maksud spiritual didalam bahan bacaan.
b) Intervensi afektif
Intervensi spiritual dalam aspek afektif adalah bertujuan untuk menolong klien mengubah aspek spiritual, perasaan dan emosi mereka. Klien yang  mempunyai emosi yang sensitif dan ekspresif iaitu mereka yang banyak menggunakan aspek emosi, akan lebih cenderung untuk menggunakan intervensi ini. Antara contoh  intervensi afektif adalah merangkumi sembahyang, bayangan spiritual “ spiritual imagery” seperti membayangkan tuhan melihat pergerakan mereka, menulis jurnal spiritual, meditasi dan sebagainya
c) Intervensi tingkah laku
Intervensi spiritual dalam aspek tingkah laku dirangka bertujuan untuk menolong klien mengubah amalan dan gaya hidup spiritual mereka. Klien yang mempunyai matlamat yang kuat dan sentiasa aktif dalam melakukan sesuatu perkara merupakan mereka yang sesuai untuk mengaplikasikan aspek ini. Aspek tersebut termasuklah menggalakkan klien untuk  menyertai amalan berunsurkan agama seperti menghadiri majlis agama, menjadi rakan masjid bagi golongan muslim dan sebagainya.
d) Intervensi interpersonal
Intervensi yang terakhir iaitu intervensi spiritual interpersonal dapat membantu klien untuk  berfungsi dengan lebih baik dalam masyarakat. Klien yang mempunyai kemahiran sosial yang baik dan terbuka kepada hubungan dengan masyarakat akan lebih mudah menerima intervensi ini. Antara contoh aspek ini termasuk menggalakkan klien untuk menyertai komuniti agama, menyertai aktiviti kemasyakatan dan seumpamanya.
Aspek-aspek intervensi spiritual ini merupakan antara alternatif yang boleh dilaksanakan oleh kaunselor dalam usaha untuk membantu klien. Apa yang penting adalah mengenalpasti serta meneroka kesediaan dan kecenderungan  klien untuk melibatkan diri didalam intervensi ini.
Richard dan Bergin (2002) juga memberikan beberapa cadangan dan ingatan kepada kaunselor dalam mengaplikasikan intervensi spiritual terhadap klien. Antara cadangan tersebut adalah seperti berikut:
·        Kaunselor  hendaklah memberitahu klien menerusi prosedur pemberitahuan termaklum berkaitan pendekatan aspek intervensi spiritual.
·        Kaunselor hendaklah menilai latar belakang agama dan spiritual klien sebelum melaksanakan sebarang intervensi spiritual.
·        Kaunselor hendaklah dapat meningkatkan kepercayaan dan hubungan dengan klien sebelum melaksanakan intervensi.
·        Kaunselor hendaklah berhati-hati dalam memastikan kesesuaian perlaksanaan sesuatu intervensi.
·        Kaunselor hendaklah menerangkan dengan jelas intervensi yang hendak dilaksanakan dan meminta persetujuan klien sebelum melaksanakannya.
·        Kaunselor hendaklah menghormati aspek agama dan spiritual dengan sebaik-baiknya.
·        Kaunselor hendaklah melaksanakan intervensi tersebut dalam ruang lingkup nilai klien dan menjauhi daripada  menerapkan nilai mereka ke atas klien walaupun mereka boleh mencabar nilai klien serta menolong klien untuk menilai samada kepercayaan mereka rasional ataupun tidak.
·        Kaunselor tidak boleh  rigid dalam mengaplikasikan intervensi sebaliknya perlu fleksibel dalam melaksanakannya bersesuaian dengan keadaan klien.
·        Kaunselor yang percaya kepada tuhan dan dan aspek spiritual hendaklah sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam aspek tersebut.

No comments:

SENARAI BLOG MOTIVASI